CPIT, promoter tempatan majukan industri pelancongan
Utusan Sarawak - Fri, 14 March 2003

[ back ] [ NZC News Archive ]


KUCHING, Khamis - Satu Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Christchurch Polytecnic Institute of Technology (CPIT) New Zealand dan sebuah promoter tempatan telah diadakan di pejabat Menteri Pelancongan Sarawak di sini baru-baru ini.

Majlis menandatangani MOU berkenaan telah disaksikan oleh Menteri Pelancongan Sarawak, Dato Sri Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg.

CPIT diwakili oleh Dekan Perniagaam Dr Pim Borren dan Dekan Pendidikan Antarabangsa Dr David Weir.

Promoter tempatan pula diwakili oleh Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustian Sarawak (SCCI) dan Konsul kehormat New Zealand di Sarawak Datuk Amin Haji Satem, Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Datuk Abang Haji Abdul Karim Tun Abang Haji Openg, Presiden Majlis Perniagaan Malaysia New Zealand (MNZBC) cawangan Sarawak Encik Alex Ting dan Pengarah NZ Centre di Sarawak Encik Rodger Chan.

MOU berkenaan adalah susulan daripada lawatan oleh Ketua Menteri ke New Zealand hujung tahun lalu Abang Johari menyatakan bahawa MOU berkenaan adalah sebagai permulaan untuk menjalin kerjasama di antara CPIT dan promoter tempatan selari dengan rancangan kerajaan untuk membangunkan industri pelancongan, terutama dalam bidang makanan dan hospitaliti bagi menjadikannya bertaraf dunia.

Beliau merasakan bahawa profesional dan latihan berkualiti merupakan ramuan penting untuk penggalakkan pembangunan pelancongan secara menyeluruh di negeri ini.

Sementara itu, Abang Karim menyatakan bahawa ia adalah satu inisiatif yang sangat dialu-alukan, yang akan memenuhi keperluan negeri ini dan menggalakkan kerjasama ekonomi di antara kedua-dua negara.

Beliau berkata kerjasama berkenaan akan membolehkan penduduk tempatan dan industri pelancongan mendapatkan kepakaran dan sumber daripada CPIT dan New Zealand.

Menurutnya inisiatif berkenaan juga bersesuaian dengan pembangunan menyeluruh dalam BIMP-EAGA dalam sektor berkaitan.

Dr Borren pula menyatakan bahawa MOU dan kerjasama berkenaan akan memberikan peluang paling menarik kepada CPIT, bandarraya Christchurch dan kepada New Zealand secara keseluruhannya untuk bekerjasama rapat di rantau BIMP-EAGA, terutama Sarawak, untuk membantu pertumbuhan industri pelancongan terutama sektor makanan dan hospitaliti.

Menurutnya pertumbuhan dalam sektor pelancongan adalah proses yang berterusan sebagai sebahagian daripada proses perluasan global dunia.

Katanya, ia adalah industri yang selamat dan pada ketika negara-negara membangun terus membangun, industri ini akan lebih berkembang.

CPIT merupakan institusi pengajian tinggi utama dan mempunyai sekolah makanan dan hospitaliti terbesar di New Zealand.