PTPTN sedia RM2bilion biayai 100,000 pelajar ke IPT
Mingguan Malaysia - Sun, 2 March 2003

[ back ] [ NZC News Archive ]

Oleh ABDUL RAZAK DIN

IPOH 1 Mac - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan peruntukan terbesar sebanyak RM2 bilion tahun in untuk membiayai 100,000 pelajar ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, peruntukan ini dijangka mampu membiayai sehingga 40 peratus daripada pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan berkenaan.

Katanya, dengan peruntukan tersebut dijangka hampir kesemua pemohon yang ingin mendapatkan pembiayaan dari tabung in akan memperolehnya.

"Kita membuat peruntukan yang besar in kerana kita menjangkakan jumlah pelajar yang diterima ke IPTA/IPTS tahun ini akan bertambah berbanding tahun lalu," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pendidikan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Seminar tersebut dihadiri oleh lebih 1,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seluruh Perak yang dianjurkan bersama antara Yayasan Perak dan PTPTN.

Beliau berkata, tahun lalu PTPTN memperuntukkan RM1.5 bilion untuk tujuan tersebut.

Menurutnya, sehingga kini PTPTN telah memperuntukkan sebanyak RM5bilion untuk membiayai 401,000 pelajar sejak ditubuhkan pada tahun 1997.

Ketika ditanya mengenai terdapat rungutan tentang pembayaran lambat, Ahmad Husni berkata, pihaknya telah berjaya mengurangkan masalah tersebut dengan melaksanakan program secara cepat dengan membuka kaunter-kaunter PTPTN di IPTA/IPTS semasa hari pendaftaran.

Katanya, semasa hari pendaftaran itu, PTPTN akan membuka kaunter di 18 buah IPTA.