Sarawak Cukup Air
Lembaga air sedia pelan awal berikutan cuaca panas, sejak sebulan lalu

Harian Metro- Sabtu  07 June 2003 

[ back ] [ NZC News Archive ]


Oleh Mohd Raji Abdullah
am@hmetro.com.my

KUCHING: Sarawak tidak mengha­dapi masalah bekalan air serius walaupun dilanda cuaca panas dan kering sejak sebulan lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, berkata walaupun masalah bekalan air ber­laku di beberapa tempat di negeri itu, ia tidak berpanjangan dan mem­babitkan kawasan yang ramai penduduk.

Bagaimanapun, katanya, perse­diaan rapi sedang dibuat bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada musim kemarau panjang yang dijangka berlarutan hingga akhir September ini nanti.

"Setakat in, kami belum meneri­ma sebarang laporan masalah bekalan air yang teruk. Kalau adapun hanya masalah kecil, tetapi ia dapat diatasi oleh Lembaga Air dengan segera.

"Apa yang perlu dibuat sekarang ialah membuat pemantauan rapi bagi mengenalpasti kawasan yang mungkin terjejas akibat musim kemarau panjang, bagi memudahkan bantuan disalurkan segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harian Metro selepas menghadiri majlis perasmian New Zealand Centre, di Pending, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perta­nian New Zealand, Jim Sutton dan bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Da­tuk Sri Daniel Tajem anak Miri. Dr Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri, berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas minggu depan untuk membincang­kan langkah perlu bagi menghadapi musim kemarau.

Katanya, selain membincangkan masalah bekalan air, mesyuarat itu juga akan membincangkan tindakan perlu bagi membendung sebarang kegiatan pembakaran terbuka bagi mengelak masalah jerebu berlaku pada musim kemarau ini.

Katanya, setakat ini masalah pembakaran terbuka juga masih belum serius walaupun Lembaga Sumber Ash dan Persekitaran (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan beberapa tompok panas di negeri ini.
"Kami akan melipat gandakan kempen penerangan bagi menyedarkan orang ramai mengenai kesan pembakaran terbuka," katanya.

Katanya lagi, Jawatankuasa Bencana Alam negeri juga akan meninjau ke beberapa kawasan tadahan air di negeri ini bagi mengenalpasti keupayaan bekalan pada musim kemarau ini.