New Zealand akan pindahkan teknologi ke S'wak
Harian Metro- Sabtu  07 June 2003 

[ back ] [ NZC News Archive ]

 

KUCHING, 6 Jun: New Zealand yang sejak sekian lama mempunyai hubungan akrab dan mesra bersama Malaysia berharap untuk memindahkan kemahiran dan teknologi yang berkaitan dalam kerjasamanya dengan Sarawak di masa depan, kata Menteri Rundingan Perdagangan dan Pertanian negara itu, Jim Sutton, hari ini.
Beliau berkata New Zealand yang hubungan dua halanya dengan Sarawak bermula pada 1950-an hasil daripada Pelan Colombo dan aspek keselamatan bersama sedang meninjau kemungkinan mewujudkan usahasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, pertanian, pemprosesan makanan dan perhutanan di Sarawak.

"Kita (New Zealand) boleh banyak belajar daripada Sarawak dan kami mempunyai kemahiran tersendiri dan teknologi yang kami sendiri bangunkan dan boleh digunakan di sini (kerjasama
masa depan)," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pusat New Zealand di Pending dekat sini.

Mengenai potensi kerjasama dalam sektor pelancongan, beliau berkata Sarawak dan New Zealand boleh mewujudkan peluang-peluang kelas pertama dan pengalaman dalam rantau supaya orang ramai dari Amerika dan Eropah boleh melawat dua destinasi ini.

Tahun lepas, Sarawak mewakili lima peratus daripada perdagangan dua hala bernilai bernilai RM2.4 bilion antara New Zealand dan Malaysia yang merupakan rakan perdagangan kelapan terbesar bagi negara itu.
Buat masa ini, lebih kurang 20 syarikat New Zealand mempunyai pelaburan besar di negara ini, termasuk telekomunikasi, elektronik, perisian, maklumat dan teknologi makanan, sementara perniagaanperniagaan Malaysia telah melabur dalam sektor perhotelan dan hartanah, perhutanan
dan pemprosesan makanan di New Zealand.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan berkata Sarawak yang sebahagian besarnya mengimport produk-produk berkaitan pertanian dari New Zealand seperti daging, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran dan juga pulpa dan kertas, boleh juga mempertimbangkan untuk mengeksport buah-buahan tropika dan makanan laut dan juga balak ke negara itu.

Mengenai peluang pendidikan, beliau berkata universiti-universiti tempatan boleh mengadakan hubungan dan kerjasama dengan universiti-universiti tertentu di New Zealand untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran penuntut di kedua-dua tempat.

"Kita (Sarawak) boleh menyediakan kursus spesifik untuk membolehkan penuntut menghabiskan masa dan belaiar sebahagian daripada semester mereka di Sarawak ataupun meneruskan pendidikan iiazah lanjutan ataupun sebaliknya," kata beliau.